Global Outreach Programme Kolej 12 | KOLEJ DUA BELAS
» ARTIKEL » Global Outreach Programme Kolej 12

Global Outreach Programme Kolej 12

  

 

Pada 17 Januari 2019, seramai tujuh orang wakil daripada Barisan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Dua Belas sesi 2018/2019 telah bertolak ke Tokyo, Jepun dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sempena Global Outreach Programme Kolej 12 (GOP) yang telah berlangsung selama 14 hari.  Mereka diiringi oleh dua orang Felo Kolej Dua Belas, Cik Najidah Abdullah dan Cik Ghaibulna Lajis. Antara objektif utama program ini adalah untuk menjana mahasiswa yang lebih beridealisma, proaktif dan kreatif menersi pemerhatian serta dialog yang terbuka dan global.  

Selain itu, objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan serantau di antara dua institusi pengajian tinggi yang bertujuan untuk mewujudkan pertukaran idea dalam pendidikan dan usaha meneroka ilmu baru. Seterusnya mengenali dan memahami budaya asing dalam konteks mewujudkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, dan menggalakkan pertukaran idea mengenai budaya negara lain.

Program ini secara rasminya bermula pada pagi 18 Januari di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo. Peserta telah menaiki bas awam untuk ke Tsukuba, Wilayah Ibaraki. Antara aktiviti yang telah dijalankan disana termasuk melawat Tsukuba Expo Center yang mempamerkan teknologi-teknologi yang dibangunkan oleh masyarakat Jepun sendiri. Peserta juga telah mengambil kesempatan yang ada untuk melawat Gunung Tsukuba.  Gunung ini setinggi 877 meter dan menjadi tapak suci bagi penganut agama Shinto.  Selain itu, peserta GOP juga telah dijemput untuk makan malam bersama-sama dengan para pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Tsukuba.  Di samping itu, peserta telah mengadakan program penanda aras bersama Universiti Tsukuba selama dua hari. Antara input yang diperoleh sepanjang penanda aras ini ialah pengenalan Pusat Penyelidikan Algae Biomass (ABES), Tsukuba Plant Innovation Research Center (T-PIRC) dan Pusat Penyelidikan Perhutanan dan Pertanian (AFRC).  Penghargaan harus diberikan kepada Dr. Tofael Ahamed dan Dr. Ryozo Noguchi bersama para pelajar mereka yang terdiri daripada pelajar Master dan PhD yang telah menerima kedatangan peserta dengan tangan yang terbuka.

Pada 22 Januari 2019, peserta GOP telah bertolak ke Tokyo, Jepun bagi meneruskan kembara GOP. Di sana, peserta juga berkesempatan untuk bertemu dengan dua orang pelajar Kolej 12 yang menuntut di Tokyo University of Agriculture and Technology (TUAT) iaitu saudara Muhammad Hairul Izam bin K. Abdul Rahman dan saudara Khairul Amirin bin Khairuddin.  Peserta telah melawat banyak tempat yang menarik di Tokyo seperti Shibuya, Shinjuku, Akihabara dan lain-lain. Antara tempat yang menjadi perhatian ialah Tokyo Metropolitan Government Building dimana peserta berpeluang untuk melihat panorama Tokyo dari dek pemerhatian setinggi 202 meter. Peserta juga telah mendapat penerangan tentang usaha Pihak Berkuasa Tempatan Tokyo untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.  Selain itu, peserta juga telah melawat Taman Yoyogi iaitu sebuah taman hutan di tengah-tengah bandar Tokyo.  Di dalam taman tersebut terdapat Meiji Shrine iaitu juga merupakan rumah ibadat penganut Shinto yang penting.  Peserta juga telah melawat Taman Ueno dan berpeluang untuk melihat beberapa buah pokok bunga Sakura yang sudah menampakkan bunga-bunga Sakura menandakan musim bunga akan menjelang tidak lama lagi. Di sana, peserta telah mengunjungi Masjid As-Salaam Okachimachi dan mengenali lebih mendalam tentang komuniti Islam di sana.

Global Outreach Programme Kolej 12 secara rasmi telah tamat setelah peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pagi 30 Januari 2019.  Antara input-input berguna yang diperolehi oleh para peserta adalah ketetapan waktu dan budi bahasa yang tinggi yang dipraktikkan oleh penduduk Jepun dalam kehidupan seharian.  Diharapkan segala input-input yang diperolehi ini dapat dikongsi dan dipraktikkan bersama warga Kolej 12.

  

 Disediakan oleh,

 

Wan Muhammad Hariz Hanis bin Wan Samsudin

No. Matrik : 187161

Exco Publisiti

Global Outreach Programme Kolej 12

 

 

Tarikh Input: 07/02/2019 | Kemaskini: 20/02/2019 | fuziah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ DUA BELAS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 7362/ 2160
-
SXEcSAZ~